Sunday, 13 December 2015

Hikmah

Ada orang yang sentiasa mengeluh dengan apa yang dihadapinya. Tidak pernah puas dengan apa yang ada padanya. Tetapi ada juga orang yang sentiasa bersabar dengan apa yang dilaluinya. Tetap menanti dengan keyakinan bahawa Allah sudah mengatur segala ketetapan untuknya.

Hidup ini adalah ujian. Allah ingin menguji hamba-hambaNya sama ada hambaNya bersyukur atau tidak. Kadang-kadang kita merasakan Allah tidak pernah mendengar atau memenuhi permintaan kita. Walhal, Allah lah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.

Kita menganggap apa yang kita ingin atau impikan, itulah yang terbaik walaupun sebenarnya tidak. Kita menganggap sesuatu yang kita tidak minat atau kita benci adalah hal yang tidak baik buat kita walaupun sebenarnya perkara itu boleh mengundang mudarat buat kita. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke - 216 :

".....Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Sebagai pelajar, saya ingin mengambil satu kisah pendek yang mungkin dekat dengan perjalanan sebagai seorang pelajar.

Ainul merupakan antara seorang pelajar yang pandai di sekolahnya. Semasa peperiksaan percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),  dia mendapat keputusan yang cemerlang iaitu 5A. Begitu juga dengan peperiksaan yang lain. Ramai rakan-rakan dan guru menganggap bahawa dia pasti mendapat keputusan yang sama sewaktu ujian sebenar. Keluarga Ainul juga begitu.

.....

Setiap pelajar berdebar menanti keputusan yang bakal diumumkan oleh guru besar mereka. Begitu juga dengan guru-guru yang lain. Semua pelajar terkejut apabila mendengar pengumuman bahawa di sekolah itu hanya seorang pelajar yang mendapat keputusan 5A. Semua mata di situ memandang wajah Ainul kerana menganggap dia pelajar yang mendapat keputusan tersebut. Hati Ainul pula sudah berbunga-bunga.

Namun, segala anggapan yang bersarang di benak fikiran masing-masing termasuk Ainul menjadi punah apabila mendengar nama pelajar yang diumumkan sebagai pelajar cemerlang itu bukanlah Ainul. Ainul menangis teresak-esak di bahu rakannya. Hatinya bertambah pilu apabila mengetahui bahawa dia hanya mendapat keputusan 2A. Dia tahu keputusan itu membuatkan hati keluarganya hancur bahkan dirinya juga.

Ainul sangat hampa dengan keputusan tersebut. Angan-angannya untuk menyambung pelajaran di sekolah sains atau mana-mana maktab hancur. Namun begitu keluarganya sentiasa menyokongnya dan tidak memandang serong terhadap dirinya.

Ainul memulakan sesi persekolahannya di sebuah sekolah yang dianggap sangat 'rosak'. Sesiapa yang bersekolah di situ pasti dipandang rendah dek masalah akhlak mahupun akademik. Dia tidak mempunyai pilihan selain bersekolah di situ. Pada mulanya, Ainul sangat susah bergaul dan sentiasa memandang rendah pada dirinya sendiri. Dia merasakan dirinya adalah pelajar yang tidak pandai dek keputusan UPSR nya.

Namun, segalanya berubah apabila dia belajar mengenali guru-guru dan rakan-rakan sebayanya sama ada yang sekelas mahupun tidak. Ainul juga bukan sahaja mempelajari ilmu dunia di sekolahnya malah juga ilmu akhirat. Dia mengenali seorang guru yang sangat baik. Guru itulah yang mengajar pelbagai ilmu untuk dirinya. Guru itu sering memberitahu tentang tips belajar dan juga etika seorang hambaNya. Guru itu yang mendidiknya supaya rajin berpuasa sunat, menunaikan solat dhuha dan hajat, membaca al-mathurat dan berqiam.

Ainul berasa sangat bahagia kerana menikmati nikmat yang Allah berikan kepadanya iaitu nikmat iman dan islam. Kini, dia tahu apa hikmah di sebalik dia mendapat keputusan UPSR nya itu. Dia menganggap jika dia tidak bersekolah di situ, dia mungkin tidak akan mengenali guru tersebut dan tidak merasakan nikmat yang dinikmatinya itu. Dia juga belajar untuk menerima apa sahaja keputusan yang diterimanya dalam peperiksaan. Dia belajar untuk sentiasa optimis dan bersangka baik terhadap Allah.

Ainul bersekolah di sekolah tersebut sehingga tingkatan lima. Terlalu banyak pengalaman yang dilaluinya di sekolah itu. Dia juga tidak menganggap sekolah itu sebagai sebuah sekolah yang 'rosak'. Sebaliknya, sekolah itulah yang menjadi medium untuk dirinya supaya mempelajari bermacam hal baik dunia mahupun akhirat. Dia dapat melihat pelbagai gelagat pelajar di sekolah itu.

Ainul juga menempa pelbagai kejayaan di sekolahnya. Antaranya, dia dinobatkan sebagai tokoh kokurikulum, tokoh maal hijrah dan juga pelajar gemilang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dia berasa sangat bersyukur dengan kejayaan-kejayaan yang diraihnya itu. Dia sedar bahawa Allah telah merancang jalan hidup setiap hambaNya yang sangat indah.

Terima Kasih Allah s.w.t.




No comments:

Post a Comment