Sunday, 13 December 2015

Hikmah

Ada orang yang sentiasa mengeluh dengan apa yang dihadapinya. Tidak pernah puas dengan apa yang ada padanya. Tetapi ada juga orang yang sentiasa bersabar dengan apa yang dilaluinya. Tetap menanti dengan keyakinan bahawa Allah sudah mengatur segala ketetapan untuknya.

Hidup ini adalah ujian. Allah ingin menguji hamba-hambaNya sama ada hambaNya bersyukur atau tidak. Kadang-kadang kita merasakan Allah tidak pernah mendengar atau memenuhi permintaan kita. Walhal, Allah lah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.

Kita menganggap apa yang kita ingin atau impikan, itulah yang terbaik walaupun sebenarnya tidak. Kita menganggap sesuatu yang kita tidak minat atau kita benci adalah hal yang tidak baik buat kita walaupun sebenarnya perkara itu boleh mengundang mudarat buat kita. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke - 216 :

".....Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Sebagai pelajar, saya ingin mengambil satu kisah pendek yang mungkin dekat dengan perjalanan sebagai seorang pelajar.

Ainul merupakan antara seorang pelajar yang pandai di sekolahnya. Semasa peperiksaan percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),  dia mendapat keputusan yang cemerlang iaitu 5A. Begitu juga dengan peperiksaan yang lain. Ramai rakan-rakan dan guru menganggap bahawa dia pasti mendapat keputusan yang sama sewaktu ujian sebenar. Keluarga Ainul juga begitu.

.....

Setiap pelajar berdebar menanti keputusan yang bakal diumumkan oleh guru besar mereka. Begitu juga dengan guru-guru yang lain. Semua pelajar terkejut apabila mendengar pengumuman bahawa di sekolah itu hanya seorang pelajar yang mendapat keputusan 5A. Semua mata di situ memandang wajah Ainul kerana menganggap dia pelajar yang mendapat keputusan tersebut. Hati Ainul pula sudah berbunga-bunga.

Namun, segala anggapan yang bersarang di benak fikiran masing-masing termasuk Ainul menjadi punah apabila mendengar nama pelajar yang diumumkan sebagai pelajar cemerlang itu bukanlah Ainul. Ainul menangis teresak-esak di bahu rakannya. Hatinya bertambah pilu apabila mengetahui bahawa dia hanya mendapat keputusan 2A. Dia tahu keputusan itu membuatkan hati keluarganya hancur bahkan dirinya juga.

Ainul sangat hampa dengan keputusan tersebut. Angan-angannya untuk menyambung pelajaran di sekolah sains atau mana-mana maktab hancur. Namun begitu keluarganya sentiasa menyokongnya dan tidak memandang serong terhadap dirinya.

Ainul memulakan sesi persekolahannya di sebuah sekolah yang dianggap sangat 'rosak'. Sesiapa yang bersekolah di situ pasti dipandang rendah dek masalah akhlak mahupun akademik. Dia tidak mempunyai pilihan selain bersekolah di situ. Pada mulanya, Ainul sangat susah bergaul dan sentiasa memandang rendah pada dirinya sendiri. Dia merasakan dirinya adalah pelajar yang tidak pandai dek keputusan UPSR nya.

Namun, segalanya berubah apabila dia belajar mengenali guru-guru dan rakan-rakan sebayanya sama ada yang sekelas mahupun tidak. Ainul juga bukan sahaja mempelajari ilmu dunia di sekolahnya malah juga ilmu akhirat. Dia mengenali seorang guru yang sangat baik. Guru itulah yang mengajar pelbagai ilmu untuk dirinya. Guru itu sering memberitahu tentang tips belajar dan juga etika seorang hambaNya. Guru itu yang mendidiknya supaya rajin berpuasa sunat, menunaikan solat dhuha dan hajat, membaca al-mathurat dan berqiam.

Ainul berasa sangat bahagia kerana menikmati nikmat yang Allah berikan kepadanya iaitu nikmat iman dan islam. Kini, dia tahu apa hikmah di sebalik dia mendapat keputusan UPSR nya itu. Dia menganggap jika dia tidak bersekolah di situ, dia mungkin tidak akan mengenali guru tersebut dan tidak merasakan nikmat yang dinikmatinya itu. Dia juga belajar untuk menerima apa sahaja keputusan yang diterimanya dalam peperiksaan. Dia belajar untuk sentiasa optimis dan bersangka baik terhadap Allah.

Ainul bersekolah di sekolah tersebut sehingga tingkatan lima. Terlalu banyak pengalaman yang dilaluinya di sekolah itu. Dia juga tidak menganggap sekolah itu sebagai sebuah sekolah yang 'rosak'. Sebaliknya, sekolah itulah yang menjadi medium untuk dirinya supaya mempelajari bermacam hal baik dunia mahupun akhirat. Dia dapat melihat pelbagai gelagat pelajar di sekolah itu.

Ainul juga menempa pelbagai kejayaan di sekolahnya. Antaranya, dia dinobatkan sebagai tokoh kokurikulum, tokoh maal hijrah dan juga pelajar gemilang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dia berasa sangat bersyukur dengan kejayaan-kejayaan yang diraihnya itu. Dia sedar bahawa Allah telah merancang jalan hidup setiap hambaNya yang sangat indah.

Terima Kasih Allah s.w.t.




Saturday, 12 December 2015

Hadis Ghulam



Dari Suhaib bahawa Rasulullah saw. pernah bercerita:
Di zaman sebelum kamu dahulu ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir. Bila tukang sihir tersebut merasa dirinya telah tua, dia berkata kepada raja tersebut, “Aku telah tua. Carilah seorang budak (yang paling cerdik) 1 yang boleh aku ajarkan kepadanya sihirku”. Lalu dicari seorang budak dan tukang sihir tersebut mengajarkan kepadanya ilmu sihirnya.
Di pertengahan jalan menuju ke tempat belajarnya, terdapat seorang rahib. Budak tersebut telah duduk sebentar mendengar ajaran rahib tersebut dan merasa seronok dengannya. Selepas kali tersebut, setiap kali melalui tempat rahib, budak tersebut akan berhenti dan mendengar ajarannya. Akhirnya bila tiba kepada tukang sihir, ia dipukul (kerana terlambat). Lalu ia mengadu kepada rahib. Rahib berkata kepadanya:
“Jika kamu takutkan tukang sihir, katakan kepadanya bahawa ibu bapaku menahanku (di rumah), jika kamu takutkan ibu bapamu (kerana lewat pulang), katakan kepada mereka berdua bahawa tukang sihir telah menahanku.”
Waktu berlalu dan pada suatu hari budak tersebut telah bertemu dengan seekor binatang besar (singa)* yang menghalang laluan orang ramai. Budak tersebut berkata di dalam hatinya,
“Pada hari ini aku akan tahu siapakah yang lebih hebat, tukang sihir atau rahib”.
Lalu diambilnya seketul batu dan dibaca:
“Ya Tuhan, jika sekiranya rahib lebih engkau cintai dari tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini dan berilah laluan kepada orang lain.”
Lalu dilontar batu tersebut dan binatang tersebut pun mati. (Orang ramai sangat kagum dengan budak tersebut dan mengatakan dia mempunyai ilmu yang kita semua tidak mengetahuinya)*.
Perkara tersebut diceritakan kepada rahib. Rahib berkata padanya;
“Engkau pada hari ini telah menjadi lebih hebat dariku. Engkau telah sampai ke peringkat yang aku dapat lihat sekarang. Tapi ingat, Engkau nanti akan diuji. Apabila engkau diuji oleh Allah, maka jangan sekali-kali engkau memberitahu tentangku.”
Budak tersebut berjaya mengubat penyakit kusta dan sopak. Dia juga dapat mengubat semua penyakit yang dihidapi oleh orang ramai.Suatu ketika seorang yang dekat dengan raja telah terkena satu penyakit sehingga buta matanya. Apabila mendengar tentang kehebatan budak tersebut dia telah membawa hadiah yang banyak. Dia berkata kepada budak tersebut; semua ini untukmu jika engkau dapat menyembuhkan mataku.
Budak berkata kepadanya:
“Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa. Hanya Allah yang dapat menyembuhkan. Jika engkau beriman dan percaya kepada Allah, aku akan berdoa dan Allah akan menyembuhkan penyakitmu.”
Lalu si pembesar buta tersebut percaya dan beriman kepada Allah. Budak tersebut mendoakan untuknya dan matanya pun sembuh seperti sediakala.
Pembesar tersebut datang seperti biasa kepada raja. Raja terkejut dan bertanya kepadanya; Siapa yang mengembalikan penglihatanmu? Kata pembesar tersebut: Tuhanku. Raja sangat marah dan mengatakan: Ada ke tuhan lain selain dariku?? Lalu pembesar tersebut ditangkap dan disiksa hingga dia pun membongkarkan ajaran budak tersebut. Budak tersebut dibawa kepada raja lalu raja bertanya: “Aku telah mengetahui kehebatanmu, sekarang kamu dapat menyembuhkan penyakit itu dan ini dan dapat melakukan itu dan ini”.
Lalu budak itu menjawab,
“Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Hanya yang dapat menyembuhkan ialah Allah.”
Lalu ia pun ditangkap dan terus di siksa sehinggalah ia pun membongkarkan rahsia rahib (kerana tidak tahan dengan siksaan).
Lalu rahib pun ditangkap. Ia diarahkan supaya meninggalkan agamanya tetapi rahib menolak. Lalu dibawa gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan digergaji, tubuhnya terbelah dua dan keduanya melerai jatuh ke bumi.
Budak tersebut lalu dibawa lagi kepada raja. Raja berkata, “Balik semula kepada agama asalmu”. Budak menolak lalu raja memanggil sebahagian dari kumpulannya dan dikatakan kepada mereka: Bawa budak ini ke bukit sekian-sekian dan jika sekiranya ia tetap enggan, campakkan dan atas bukit tersebut. Lalu mereka membawanya ke atas bukit. Tiba di sana, budak berdoa kepada Allah:
اللَّهُمَّ اكفنِيهمْ بمَا شئْت
Ya Allah, tolonglah aku dengan cara yang engkau kehendaki.
Tiba-tiba bukit bergegar dan jatuh kesemua orang-orang raja tersebut. Budak balik berjalan kepada raja. Raja bertanya; Mana dia kawan-kawanku? jawab budak: Allah telah menolongku menghadapi mereka. Lalu raja memanggil sebahagian lagi kumpulannya dan berkata: Bawa budak ini ke tengah laut. Jika ia enggan, campakkan dia ke dalam laut.
Bila tiba di tengah laut, budak tersebut berdoa dengan doa yang sama. Tiba-tiba perahu tenggelam dan semua kumpulan raja mati lemas. Budak balik semula kepada raja. Raja terkejut dan bertanya: Mana kawan-kawanku? Jawab budak: Allah telah menolongku menghadapi mereka.
Lalu budak tersebut berkata kepada raja: Kamu tidak mungkin akan dapat membunuhku sehinggalah kamu menurut apa yang aku minta. Tanya raja: Apa dia? Kata budak: Engkau kumpulkan semua orang ramai di satu padang, kamu ikatkan aku di pohon kurma. Kemudian engkau ambil satu dan panahku dan letakkan panah tersebut pada busurnya. Kemudian engkau baca:
Dengan nama Allah, tuhan budak ini.
Kemudian engkau panahlah aku. Kalau engkau melakukan begitu, kamu akan dapat membunuhku.
Lalu raja pun mengumpulkan orang ramai di satu padang. Budak itupun diikat pada sebatang pohon kurma. Kemudian diambil satu panah dan diletakkan pada busurnya. Lalu raja membaca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini dan terus dipanahnya. Panah tersebut mengenai bawah telinganya. Perlahan-lahan budak meletakkan tangannya pada tempat panah tersebut dan terus meninggal dunia.
(Tiba-tiba orang ramai berkata: Budak ini mengetahui perkara yang kita tidak ketahui.)* “Kami percaya kepada tuhan budak ini”.
Raja menjadi kelam kabut dan dikatakan kepadanya, “Apakah tuanku tidak melihat apa yang tuanku takuti. Sesungguhnya, Demi Allah! Ia telah menimpa tuanku. Orang ramai telah semuanya beriman.”
Lalu raja menyuruh digali parit-parit di laluan-laluan orang ramai dan dinyalakan api di dalamnya. Sesiapa yang lalu akan diarahkan supaya kembali semula kepada agama asal. Jika tidak akan dicampakkan ke dalam parit tersebut.
Lalulah seorang wanita dengan seorang anak kecilnya (bayi). Wanita tersebut gementar takut dicampakkan ke dalam api tersebut. Tiba-tiba bayinya bercakap dan berkata kepada ibunya:
Wahai ibu, sabarlah, engkau berada di atas kebenaran !
Hadis Riwayat Muslim (No.5327 Kitab Zuhud dan Raqa’iq) Tarmizi (No. 3263 Kitab Tafseer Al-Quran) dan Imam Ahmad. Hadis di sebutkan oleh Imam An-Nawawi dalam Kitab Riyadhus-Solihin di bawah Bab Sabar.
Di akhir riwayat, Imam Tarmizi menyatakan bahawa: Budak tersebut kemudiannya dikebumikan.Pada zaman Saiyidina Omar r.a. telah ditemui mayatnya dalam keadaan tangannya masih diletakkan pada bawah telinganya yang masih luka. ALLAHUAKBAR!!
RUJUKAN : http://dakwah.info/quran-hadis/hadis-ghulam-dakwah/
Begitulah kisah seorang Ghulam(pemuda islam) yang terjadi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan. Aku mendapat kisah ini pada malam jumaat kira-kira selepas solat isyak di Masjid Putrajaya.Namun,pada malam itu,aku dan rakan-rakan tidak tahu apa-apa tentang hadis ini kerana kami hanya mentadabbur surah Al-Buruj yang bermaksud gugusan bintang.
Surah Al- Buruj merupakan surah ke - 85 yang terdiri daripada 22 ayat dan diturunkan di Mekah. Apakah sebenarnya kaitan antara surah ini dengan hadis tersebut?
Pada ayat ke - 3 sehingga 12 sebenarnya adalah penamat untuk hadis ghulam di atas. Ayatnya adalah seperti berikut :
3. Demi yang menyaksikan dan disaksikan.
4. Binasalah orang yang membuat parit.
5.Yang berapi(yang mempunyai) kayu bakar,
6. Ketika mereka duduk di sekelilingnya.
7. Sedang mereka menyaksikan apa yang mereka lakukan terhadap orang mukmin. 8. Dan mereka menyeksa orang mukmin itu hanya kerana(orang mukmin itu)    
    beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Terpuji.
9. Yang memiliki kerajaan langit dan bumi. Dan Allah Maha Menyaksikan segala
    sesuatu.
10.Sesungguhnya orang yang mendatangkan cubaan kepada orang mukmin lelaki
     dan perempuan, lalu mereka tidak bertaubat, maka mereka akan mendapat azab
     Jahannam dan mereka akan mendapat azab(neraka) yang membakar.
11.Sesungguhnya orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan
     mendapat syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, itulah kemenangan
     yang besar.
12.Sesungguhnya azab Tuhan sangat keras.
Sebelum zaman Rasulullah s.a.w. terdapat segolongan kecil orang Nasrani yang mentauhidkan Allah.                                                                                                                                                                                   Mereka dipaksa untuk meninggalkan kalimah tauhid mereka oleh pembesar yang zalim. Pembesar itu menolak                                                                                                                                                                 orang mukmin ke dalam parit tersebut. Orang mukmin tersebut adalah orang ramai yang beriman selepas                                                                                                                                                                           melihat kejadian raja memanah budak dengan menyebut Dengan nama Allah, tuhan budak ini yang teradapat dalam hadis di atas. Ya! Itulah kaitannya antara hadis ghulam dan surah Al-Buruj.
Nabi s.a.w. tidak menyebut masa sebenar berlakunya kejadian ini kerana hadis ini perlu dijadikan teladan sepanjang masa kepada seluruh umat islam khususnya para pemuda dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah. Hadis ini juga menunjukkan bahawa inilah sepatutnya perjalanan pemuda islam. Nisbah Ghulam mempelajari sihir dan bersama rahib adalah 1 : 2. Ini menunjukkan bahawa kita perlu melebihkan masa untuk mendalami ilmu agama berbanding ilmu dunia. Namun ilmu dunia tidak boleh diabaikan kerana ilmu tersebut merupakan alat untuk kita mencapai matlamat iaitu untuk menjadi Abid dan Khalifah di bumi ini serta untuk mencapai nikmat syurga. Sama seperti Ghulam, dia tidak meninggalkan sihir yang dipelajarinya, malah menggunakannya untuk mencapai matlamatnya.

Saturday, 5 December 2015

Nukilan Seorang Sahabat


Sahabat,
Hadirnya engkau dalam hidup ini membuatkan hari-hari ku bertambah ceria,
Aku yang dahulunya suka berseorangan ke mana-mana,
Kini memilih engkau untuk menemani ku ke mana sahaja aku pergi.

Aku bukanlah seorang sasterawan mahupun karyawan,
Yang mampu mengarang atau menggubah sebuah lagu atau puisi untuk engkau tahu isi hatiku ini,
Namun aku menggunakan medium ini untuk meluahkan hal yang membungkam di jiwaku.

Takdir Allah telah membuatkan aku untuk berjumpa dan mengenali engkau,
Status sebagai pelajar di 'sini' yang menyebabkan aku dapat menemuimu,
Walaupun asalnya engkau adalah dari tempat 'ternama' dan aku dari tempat yang 'biasa-biasa',
Tetapi itu semua tidak menjadi penghalang andai Allah sudah menakdirkan,
Ya, 
Sungguh indah takdir Allah itu kan?

Pengembaraan ke merata tempat membuatkan aku lebih mengenali engkau,
Insan yang sanggup berkorban, tetap tersenyum dan tenang walaupun 'sakit'.

Dulu,
Aku menganggap suatu perkara yang mustahil untuk mengenali 'insan yang berpenampilan seperti engkau'.
Namun, kini aku tahu hal itu bukanlah suatu yang mustahil dengan kuasa Allah,
Kerana, 
Saat ini, engkau sudah berada di sisi aku.

Sungguh, 
Aku belajar bermacam-macam hal daripada engkau,
Baik dari segi dunia mahupun akhirat,
Setiap pertanyaan ku pasti engkau menjawabnya dengan cara yang berhikmah,
Kerana engkau tahu Islam itu sudah cukup lengkap,
Andai engkau tidak tahu,
Engkau pasti membuka lembaran suci dan berkata 'maaf, saya kurang pasti'.
Itu sudah cukup membuatkan aku tenang wahai sahabat.

Sahabat,
Kematian itu pasti!
Jangan engkau bersedih dengan 'keadaan' mu kini,
Selagi engkau masih menikmati nikmat Allah,
Maka berjuanglah,
Aku pasti mendoakanmu.